Categories
AGENDA NASIONAL

Teroka hutan ancam populasi, musnah habitat Harimau Malaya

SHAH ALAM, 11 NOV: Pembukaan hutan termasuk untuk pembalakan menjadi punca populasi Harimau Malaya di negara ini semakin berkurangan dan mungkin pupus dalam tempoh lima hingga 10 tahun.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata berdasarkan Survei Harimau Kebangsaan Pertama dijalankan pada 2016 hingga 2018 populasi haiwan menjadi ikon negara itu kurang daripada 200 ekor.

Menurutnya penerokaan hutan dengan pemberian lesen pembalakan menyebabkan kemusnahan habitat dan berlaku konflik antara harimau dengan manusia yang akhirnya membawa kepada kematian haiwan itu.

“Haiwan seperti harimau, tapir dan gajah memerlukan kawasan perayauan yang luas dan sumber makanan harimau seperti rusa juga berdepan kepupusan kerana diburu manusia.

“Jadi sebenarnya kalau boleh kita berhenti menebang pokok, pemuliharaan hutan dilaksana dan sambung central forest spine (CFS) untuk besarkan kawasan perayauannya maka mereka tidak masuk ke tempat manusia,” katanya pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

Wan Junaidi mewakili Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang dijangkiti Covid-19 untuk menjawab soalan Ahli Parlimen Kemaman, Che Alias Hamid yang bertanya soalan mengenai usaha meningkatkan populasi Harimau Malaya.

Wan Junaidi berkata kerajaan sedang melaksana pelan 10 tahun pemuliharaan Harimau Malaya yang bermula tahun ini antaranya meningkatkan rondaan di lapangan serta menambah keluasan habitatnya.

Beliau turut menasihatkan penduduk di kawasan diancam dengan pencerobohan haiwan liar seperti harimau supaya jangan membunuhnya sebaliknya menghubungi Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).