Categories
EXCO SELANGOR

Tukar status tanah, pemilik boleh mohon kilang berlesen

SHAH ALAM, 18 NOV: Penukaran syarat tanah pertanian kepada industri perlu dibuat bagi membolehkan pemilik memohon status kilang berlesen.

EXCO kerajaan tempatan berkata mereka masih boleh melakukan proses tersebut meskipun program pemutihan sudah berakhir 31 Disember tahun lalu.

“Pemilik layak menukar status kilang tetapi perlu bayar premium tanah dan kemukakan permohonan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT),” kata Ng Sze Han menerusi Bual Bicara Selangor TV berjudul #Selangor2022 Langkah Hadapi Endemik malam tadi.

Menurutnya, program pemutihan kilang itu perlu bagi mengelak berlakunya pencemaran di samping mengurangkan kebocoran hasil Kerajaan Negeri dan PBT.

Beliau menjelaskan program itu juga dapat membantu mengurangkan kadar pengangguran dan membuka peluang kerja kepada orang awam.

“Kadar individu tidak bekerja di Selangor pada tahun lalu melonjak 4.4 peratus berbanding 3.3 peratus tahun sebelumnya. Justeru, dengan program pemutihan kilang ia dapat membuka lebih banyak peluang pekerjaan,” katanya.

Sebelum ini, Sze Han berkata Kerajaan Negeri tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan termasuk meroboh premis serta kilang yang masih berdegil berkaitan perkara itu.

Beliau berkata daripada 3,400 premis yang dikesan gagal berbuat demikian hanya 363 sahaja yang membuat permohonan untuk menukar status tanah.