Categories
AGENDA SUKANKINI

UiTM sasar ungguli Kejohanan Liga Wanita FAS

SHAH ALAM, 25 NOV: Pasukan bola sepak wanita Universiti Teknologi Mara (UiTM) menyasarkan gelaran juara untuk penampilan sulung mereka di Kejohanan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) Women’s Super League 2021 yang dijadualkan bermula hujung bulan ini.

Naib Canselor UiTM Profesor Dr Roziah Mohd Janor berkata walaupun baru sahaja ditubuhkan namun pasukan tersebut diyakini mampu memberi saingan kepada sembilan lagi pasukan yang mengambil bahagian dalam kejohanan tersebut.

“Mereka telah pun menjalani latihan dan beberapa perlawanan persahabatan sebagai persediaan untuk kejohanan ini. Saya cukup teruja dengan penubuhan pasukan ini dan berharap mereka berjaya merangkul johan,” katanya kepada pemberita selepas majlis memperkenalkan pemain dan pegawai pasukan bola sepak wanita UiTM 2021 di sini hari ini.

Beliau berkata kesemua pemain dibarisi oleh mahasiswi UiTM termasuk dua pemain skuad bola sepak wanita kebangsaan iaitu Nur Aliya Yasmin Md Nurul Alam dan Iv Alleyshiela Jemin.

Menurut beliau untuk tahun hadapan, diharapkan pasukan tersebut mampu melayakkan diri menyertai Liga Bola Sepak Wanita Kebangsaan dan Piala Tun Sharifah Rodziah yang merupakan liga tertinggi di Malaysia.

Kejohanan FAS Women Super League 2021 itu dijadualkan bermula 29 Nov ini hingga 19 Jan tahun depan di Radia Arena Bukit Jelutong.

– BERNAMA