Categories
AGENDA NASIONAL

Undi bajet 2022 tumpuan Dewan Rakyat hari ini

KUALA LUMPUR, 18 NOV: Pengundian untuk meluluskan Bajet 2022 pada peringkat dasar menjadi tumpuan utama persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Undian Rang Undang-Undang Perbekalan 2022 itu dijangka dijalankan selepas baki lima lagi kementerian melakukan penggulungan perbahasan bagi rang undang-undang tersebut.

Ia melibatkan Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Kementerian Wilayah Persekutuan, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya dan Kementerian Kewangan.

Penggulungan perbahasan yang memasuki hari keempat akan menyaksikan menteri atau timbalan menteri daripada kementerian terbabit menjawab perkara-perkara dibangkitkan 131 Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang semasa membahaskan rang undang-undang itu selama tujuh hari, bermula 1 Nov lepas.

Dalam pada itu, isu penghinaan terhadap agama Islam yang masih berleluasa dalam media sosial turut menjadi tumpuan pada persidangan hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat, perkara itu dibangkitkan Wan Hassan Mohd Ramli (PAS-Dungun) pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri.

Beliau bertanyakan Kementerian Komunikasi dan Multimedia mengenai langkah strategik diambil Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia bagi menangani isu berkenaan.

Dalam pada itu, isu penyertaan bumiputera dalam industri logistik dan pergudangan dibangkitkan Datuk Shabudin Yahaya (Bersatu-Tasek Gelugor) yang bertanyakan langkah diambil Kementerian Pengangkutan bagi meningkatkan penyertaan golongan berkenaan pada sesi soal jawab lisan.

– BERNAMA