Categories
AGENSI SELANGOR

Unisel, MBBY lancar katalog buku untuk orang muda

SHAH ALAM, 17 NOV: Universiti Selangor (Unisel) dan Majlis Buku Kanak-Kanak dan Remaja Malaysia (MBBY) melancarkan katalog buku Kongres Lembaga Antarabangsa Buku untuk Orang Muda (IBBY).

Presiden dan Naib Canselor Unisel Prof Dato’ Dr Mohamad Redzuan Othman berkata pelancaran itu bertujuan menarik minat membaca buku dalam kalangan kanak-kanak dan remaja.

Menurutnya, golongan muda semakin kurang menunjukkan tabiat tersebut kerana mereka kerap terdedah dengan penggunaan gajet seawal usia setahun.

Antara katalog buku Kongres Lembaga Antarabangsa Buku Untuk Orang Muda (IBBY). Foto Facebook Universiti Selangor

“Menjadi tanggungjawab kita sebagai dewasa untuk memupuk kembali minat itu dalam kalangan kanak-kanak dan remaja pada masa kini,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.

Presiden MBBY Dato’ Ahmad Redza Ahmad Khairuddin pula berkata beliau berbangga buku kanak-kanak dan remaja di Malaysia tersenarai sekali lagi di peringkat antarabangsa.

“Kita berharap agar senarai pendek buku yang dihantar ke peringkat antarabangsa ini mendapat pengiktirafan sebagai buku terbaik,” ujarnya.

Majlis di Unisel Kampus Shah Alam semalam turut meraikan tiga pemenang bagi Sijil Kepujian Buku Terbaik IBBY Malaysia 2021 yang disenaraikan sebagai calon Malaysia yang akan dibawa ke peringkat antarabangsa.

Buku tersebut antaranya berjudul ‘Gemilangnya Putrajaya/Magnificent Putrajaya’, ‘Tuty the Turtle’ dan ‘Anak Murid Yang Memakai Kain Cawat’.