Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Unit pemberdayaan pekerja kenal pasti lebih 1,800 peluang kerja untuk B40

SHAH ALAM, 26 NOV: Unit Pemberdayaan Pekerja Selangor (UPPS) mengenal pasti 1,880 peluang pekerjaan ditawarkan syarikat terkemuka kepada golongan berpendapatan rendah (B40) negeri ini.

Syarikat tempatan itu meliputi Panasonic, Epson, WestPort Holdings Berhad, WRP Asia Pacific dan HartaLega, kata EXCO Pembangunan Sosio Ekonomi V Ganabatirau.

Menurutnya, sebanyak 156 permohonan direkodkan sejak UPPS ditubuhkan bulan lalu dengan 15 peratus daripadanya mendapat tawaran kerja.

“Unit ini menjalin kerjasama dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), HRDCorp, Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu (Perdasama) serta Jabatan Tenaga Kerja sebagai pendekatan menyalurkan peluang pekerjaan kepada pekerja terutama yang terjejas.

“Kita percaya inisiatif ini mampu mengatasi masalah pengangguran di Selangor dalam tempoh terdekat,” katanya pada sidang media di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di sini semalam.

Beliau berkata dalam tempoh penubuhan, unit terbabit menjalankan taklimat skim perlindungan Perkeso kepada 236 individu meliputi ahli majlis, ketua kampung tradisi, ketua komuniti India dan ketua kampung baru Cina.

Katanya, UPPS juga dalam proses merangka taklimat pengurusan kualiti kesihatan pekerja kepada 200 jabatan sumber manusia membabitkan syarikat dan agensi tempatan.