Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Urus tadbir cemerlang Selangor jadi bahan kempen PRN Melaka

ALOR GAJAH, 15 NOV: Kejayaan Pakatan Harapan (HARAPAN) khususnya Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) mentadbir Selangor selama tiga penggal menjadi bahan dalam kempen pilihan raya negeri (PRN) Melaka.

Calon HARAPAN Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput berkata semua sedia maklum Selangor diterajui parti itu sejak 2008 dan kekal hingga sekarang kerana urus tadbir yang baik.

“Ini antara yang kita boleh ceritakan kepada pengundi tentang kejayaan HARAPAN. Walaupun dalam keterbatasan kempen, apabila ada peluang kita bangkitkan kejayaan negeri di bawah kepimpinan KEADILAN dan HARAPAN.

“Kita hargai kehadiran Dato’ Menteri Besar Selangor ke kawasan ditandingi calon HARAPAN. Kehadiran beliau adalah tindakan politik yang beri kesan dalam perkembangan kempen,” kata Datuk Shamsul Iskandar Mohd Akin.

Beliau ditemui selepas program minum petang bersama Dato’ Seri Amirudin Shari yang juga Pengerusi KEADILAN Selangor semalam.

Berhubung pertembungan lima penjuru di DUN Paya Rumput, Shamsul Iskandar berkata ia dapat memberi ruang pengundi membuat pilihan.

“Kita akui pertembungan lima penjuru bukan mudah kerana empat calon lain juga mempunyai parti tetapi kelebihannya adalah buka ruang pengundi menentukan.

“Malah, kita berharap dengan kempen yang terbatas di media sosial ini dapat membantu pengundi membuat pilihan dengan memilih kerajaan stabil,” katanya.

Kerusi DUN Paya Rumput menyaksikan pertembungan lima penjuru antara Shamsul Iskandar, Datuk Rais Yasin (BN), Muhammad Faris Izwan Mazlan (Perikatan Nasional) dan dua calon Bebas Mohamad Hashidi Mohd Zin dan Mohd Jaini Dimon.