Categories
AGENDA NASIONAL

Wajib kitar semula efluen antara cadangan atasi pencemaran sungai

SHAH ALAM, 24 NOV: Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) mencadangkan dua inisiatif bagi mengurangkan dampak pencemaran sungai menjelang Jun tahun depan.

Cadangan itu meliputi Dasar Pelepasan Sifar (ZDP) dan Polluter-Pays Principle (PPP) yang memberi kesan langsung kepada peningkatan kualiti air, kata pengarahnya.

Hasrolnizam Shaari berkata ZDP menumpukan industri dan premis niaga yang mewajibkan mereka mengitar semula efluen (sisa kimia atau kumbahan) dan tidak melepaskannya ke dalam sungai.

“Dasar ini dikuat kuasa bersama PPP, di mana mereka yang melepaskan efluen ke dalam sungai perlu membayar kos tambahan pelepasan melebihi had standard,” jelasnya dalam kenyataan.

Beliau berkata usul itu bagi mengemas kini Seksyen 44 (1) (b) Enakmen LUAS 1999 dengan memasukkan garis panduan dan dasar baharu yang akan dibentangkan kepada Kerajaan Negeri.

Pihaknya turut mencadangkan had jumlah beban maksimum harian bagi membolehkan sungai di Selangor bertahan melawan pencemaran secara semula jadi tanpa menjejaskan kualiti air.

“Sebaik sahaja ZDP dan PPP diluluskan, LUAS akan melaksanakan projek rintis dengan industri dan perniagaan di sepanjang Sungai Klang melalui projek Gerbang Maritim Selangor (SMG).

“Langkah ini akan membantu kami meningkatkan kualiti air Sungai Klang dan bersedia menjadikannya sumber air untuk kegunaan penduduk seperti yang dikenal pasti Kerajaan Negeri,” kata Hasrolnizam.