Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

Wakil rakyat harap bantuan Sepintas diberi secara terus

SHAH ALAM, 29 NOV: Wakil rakyat kerajaan dan pembangkang berharap Skim Pinjaman Teknologi Asas Selangor (Sepintas) diberikan terus kepada pelajar berbanding secara pinjaman.

Wakil rakyat Pandamaran berkata inistiatif itu baik untuk golongan berpendapatan rendah (B40) di mana di kawasan beliau sendiri sebanyak 300 komputer riba diagih hasil kerjasama pihaknya dan swasta.

“Ia satu skim yang dapat membantu pelajar untuk melanjutkan pelajaran tetapi saya harap Kerajaan Negeri dapat memberi secara ‘one fff’ kerana bukan senang hidup dan cari rezeki dalam pendemik ini,” kata Tony Leong Tuck Chee.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Lembah Jaya, Haniza Talha pula berkata peruntukan RM1 juta bagi program itu tidak mencukupi kerana ia hanya mampu membekalkan 500 unit komputer riba atau kira-kira lapan unit untuk setiap Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Jumlahnya terlalu kecil untuk membantu para pelajar. Lebih banyak wajar disalurkan demi masa depan anak bangsa,” katanya.

Sementara itu, kedua-dua mereka menyokong usaha Kerajaan Negeri meneruskan Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) yang dianggap membantu pelajar dalam kalangan terkesan akibat pandemik.

Tony berkata beliau menerima maklum balas positif daripada guru serta pelajar dari 40 sekolah di Pandamaran yang menyatakan hasrat program ini perlu dikekalkan pada tahun hadapan.

Haniza pula berharap Kerajaan Negeri dapat menyemak keberkesanan tenaga pengajar sama ada kaedah pengajaran dan pembelajaran diadaptasikan dengan keadaan semasa demi kebaikan pelajar.

Jumaat lalu, Kerajaan Negeri memperkenalkan Skim Pinjaman Teknologi Asas Selangor (Sepintas) bagi pelajar tiada peranti elektronik untuk pembelajaran.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata inisiatif dengan peruntukan RM1 juta itu merupakan kerjasama antara SmartSel dan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS).