Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Wanita perlu rebut tawaran biasiswa sambung belajar, tingkat taraf pendidikan

SHAH ALAM, 29 NOV: Biasiswa khas untuk wanita melalui program pembelajaran sepanjang hayat akan menyuntik semangat golongan itu menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi.

Adibah Ishak

Peguam, Adibah Ishak, 46, berkata inisiatif terkandung dalam Belanjawan Selangor 2022 sesuai untuk wanita berumah tangga yang tiada sokongan kewangan menuntut ilmu di institusi pengajian tinggi (IPT).

“Bagi wanita yang sudah berumah tangga, mungkin kewangan mereka agak tersekat kerana komitmen terhadap keluarga. Jadi, saya percaya inisiatif ini membantu menaikkan semangat mereka untuk belajar.

“Hanya dengan pelajaran mereka dapat memajukan diri. Berkahwin bukan bermaksud tidak perlu sambung belajar kerana menuntut ilmu tiada batasan,” katanya yang juga pemegang ijazah sarjana muda undang-undang dari Universiti Islam Antarabangsa Islam Malaysia.

Penuntut tahun tiga ijazah sarjana muda farmasi dari Universiti Mahsa, Nur Syazwanna Mohammed Sariman, 23, pula menyifatkan tawaran itu perlu dimanfaatkan kaum hawa kerana sukar diperoleh di negeri lain.

Nur Syazwanna Mohammed Sariman

Menurutnya, walaupun banyak pinjaman ditawarkan kerajaan untuk menyambung pengajian tetapi bukan mudah untuk dapat, apatah lagi biasiswa seumpama itu.

“Inisiatif ini tepat pada masanya kerana ramai wanita tiada peluang untuk sambung belajar disebabkan faktor kewangan. Dengan adanya pendidikan yang baik, saya percaya kehidupan mereka lebih terjamin,” katanya.

Sementara itu, penuntut tahun pertama ijazah sarjana muda pendidikan dari Universiti Kebangsaan Malaysia, Nur Shuhada Zainal, 35, berkata bantuan biasiswa mampu meringankan kos sara hidup memandangkan yuran pengajian di IPT mahal.

Nur Shuhada Zaina

“Peluang ini perlu diambil oleh wanita, setidak-tidaknya dapat tampung kos yuran kerana mereka tidak buat pinjaman daripada mana-mana bank, katanya yang mengikuti pengajian secara separuh masa.

Jumaat lalu, Dato’ Menteri Besar mengumumkan Program Pembelajaran Sepanjang Hayat akan diperkenal di bawah Wanita Berdaya Selangor dengan peruntukan sebanyak RM200,000 setahun.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata program itu menyediakan biasiswa kepada wanita yang terpilih untuk menyambung pelajaran di peringkat diploma, sarjana muda dan sarjana dalam pelbagai bidang.

Biasiswa tersebut dilaksana dengan kerjasama Open University Malaysia (OUM) khusus untuk wanita Selangor yang berada di pelbagai peringkat kepimpinan serta lapangan.