Categories
AGENDA JENAYAH

Warga emas kelar anak kerana ubah saluran televisyen

SHAH ALAM, 4 NOV: Seorang warga emas mengelar leher anak kandungnya gara-gara mengubah saluran televisyen di kediaman mereka di Bernam Jaya dekat Hulu Bernam, semalam.

Kejadian dipercayai berlaku selepas suspek berusia 71 tahun dan mangsa berusia 37 tahun bertengkar mengenai perkara itu.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor berkata awal kejadian pihaknya menerima laporan pada jam 12.55 tengah hari daripada suspek berhubung penemuan anaknya yang terbaring berlumuran darah di ruang tamu dalam keadaan tidak sedarkan diri.

Superintendan Arsad Kamaruddin berkata suspek sebelum itu pergi ke sebuah kedai di Taman Bernam Jaya pada 12 tengah hari turut memaklumkan leher anaknya luka selain darah keluar dari kepala.

“Suspek memaklumkan kepada jiran supaya menghubungi pihak polis. Bagaimanapun, hasil siasatan mendapati ada kesan kelar yang dalam pada leher mangsa. Ia bukan bunuh diri dan dilakukan oleh pihak ketiga,” katanya menerusi kenyataan.

Namun, Arsad berkata suspek kemudian memaklumkan pada pagi hari sama dia dan anaknya bertengkar berpunca mangsa mengubah saluran televisyen.

“Suspek kemudian menolak mangsa sehingga terkena dinding dan jatuh ke lantai. Dia kemudian mengambil pisau di dapur dan mangsa bergelut dengannya sehingga mangsa ditoreh pada leher sebanyak tiga kali,” katanya.

Katanya, polis merampas pisau yang digunakan ketika serbuan pihaknya di rumah suspek.

“Ujian saringan air kencing mendapati suspek negatif dadah selain tidak mempunyai rekod kesalahan lampau.

“Suspek dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Kubu Bharu hari ini untuk permohonan reman,” katanya yang memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,”katanya.