Categories
AGENDA NASIONAL

Wujud gerai jual hasil tani harga rendah, imbangi kenaikan di pasaran

SHAH ALAM, 30 NOV: Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) meneruskan inisiatif membantu rakyat dengan mewujudkan gerai jualan sayuran pada harga patut.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata inisiatif itu antara pelbagai usaha yang dilaksanakan Selangor untuk meringankan beban rakyat apabila harga barang meningkat.

“Usaha ini bukan perkara baharu kerana Kerajaan Negeri pernah menganjurkan Pasar Agro Selangor yang menawarkan harga yang rendah berbanding pasaran ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Ini bukan tindakan semata-mata populis untuk tunjuk kepada rakyat tetapi Kerajaan Negeri mahu membantu ke arah isu sebenar iaitu berkaitan harga barang,” katanya.

Beliau ditemui selepas bersama-sama Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Datuk Seri Anwar Ibrahim meninjau gerai jualan sayuran di Wisma PKPS, Seksyen 14, hari ini.

Dato’ Menteri Besar inisiatif dilaksanakan Selangor boleh dijadikan formula untuk mengimbangi harga pasaran serta membantu rakyat apabila harga barangan naik.

“Sebahagian besar agensi berkaitan pertanian di bawah kerajaan persekutuan, dengan adanya PKPS serta jabatan pertanian sekurang-kurangnya membantu mereka yang memerlukan dengan mengurangkan harga makanan,”katanya.

Gerai jualan sayuran anjuran PKPS dibuka bermula jam 9 pagi hingga 4 petang pada Isnin hingga Ahad di Wisma PKPS.

Pada Januari, PKPS memperkenal program Lori Pasar Agro Selangor bagi memudahkan orang ramai mendapatkan barangan makanan segar ketika PKP pada harga rendah.

Terdahulu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi memaklumkan kenaikan harga sayur-sayuran di pasaran tempatan ketika ini berkaitan dengan peningkatan harga baja dan racun di pasaran dunia.