Categories
PBT SELANGOR

Zip Line Shah Alam dapat sambutan 6,800 pengunjung sejak kembali dibuka

SHAH ALAM, 10 NOV: Aktiviti rekreasi Zip Line Shah Alam menerima kehadiran lebih 6,800 pengunjung sejak dibuka semula awal September lalu hingga kelmarin.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) berkata kebanyakan pengunjung memilih hari minggu untuk melakukan aktiviti riadah berkenaan di Persiaran Tasik, Seksyen 14 di sini.

“Kita menerima jumlah kehadiran pengunjung yang tinggi pada hujung minggu antara 200 hingga 300 orang manakala Selasa hingga Jumaat sekitar 80 pengunjung.

Orang ramai menjalankan aktiviti riadah dan rekreasi di Zip Line Shah Alam disediakan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada 7 November 2021.Foto MBSA

“Pengunjung yang hadir sentiasa diingatkan mengikut tatacara operasi piawai (SOP) ditetapkan dan kita hanya membenarkan enam individu sahaja naik di atas pada satu-satu masa,” kata Shahrin Ahmad kepada SelangorKini.

Tambah Shahrin, beliau turut menasihatkan pengunjung untuk terus mematuhi SOP ketika berada di tempat awam supaya perebakan Covid-19 dapat dielakkan.

MBSA membuka semula Zip Line Shah Alam iaitu aktiviti ‘flying fox’  mulai 11 September lalu.

Harga bayaran tiket adalah sebanyak RM20 bagi warga Shah Alam, RM10 kanak-kanak, RM20 pelajar (17 tahun dan ke bawah) untuk dua sesi, RM25 untuk tiket dewasa warga Malaysia dan RM40 bagi pelancong luar.

Kemudahan tersebut akan beroperasi bermula 10 pagi hingga 6.30 petang (Selasa– Jumaat) dan 8.30 pagi hingga 6.30 petang (Sabtu dan Ahad).