Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

1.7 juta pengguna muat turun Smart Selangor Parking, aplikasi parkir nombor satu

PETALING JAYA, 18 DIS : Seramai 1.7 juta pengguna memuat turun aplikasi Smart Selangor Parking (SSP) sejak dilancarkan pada 2019 sekali gus menjadi aplikasi parkir nombor satu di negara ini.

EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han berkata peningkatan pengguna turut didorong sambutan menggalakkan pengguna di luar bandar yang bersedia menuju ke arah pendigitalan.

“Rakyat Selangor menyambut baik penggunaan SSP, nampaknya rakyat bersedia menuju ke arah Negeri Pintar menjelang 2025.

“Selain itu kadar penggunaan aplikasi ini menjimatkan penggunaan 904 tan kupon kertas gores iaitu bersamaan dengan menyelamatkan penebangan 21,700 pohon pokok,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan majlis pemakluman penggunaan eKupon menerusi aplikasi SSP di Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya di sini hari ini.

Sementara itu Pengarah Smart Selangor Delivery Unit Dr Fahmi Ngah berkata pihaknya menjangkakan peningkatan sebanyak 20 peratus daripada 1.7 juta pengguna aplikasi SSP.

“Kita jangka lebih 20 peratus lagi pengguna bakal memuat turun aplikasi ini selepas mansuhnya penggunaan kupon parkir kertas gores pada 3 Januari nanti,” katanya.

Kerajaan Negeri memansuhkan penggunaan kupon parkir kertas gores secara berperingkat mulai 3 Januari tahun depan dan akan digantikan dengan eKupon menerusi aplikasi SSP yang boleh dimuat turun melalui Apps Store atau Google Play Store.

Bagaimanapun, individu yang masih ada stok kupon parkir kertas masih boleh gunakan ia sehingga 31 Mac tahun depan. Layari Facebook Smart Selangor Parking dan hubungi 1 700 81 9612 untuk keterangan lanjut.

Sistem tempat letak kereta pintar itu digunakan secara meluas oleh pihak berkuasa tempatan negeri dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.

Aplikasi yang dibangunkan Smart Selangor Delivery Unit selari agenda Negeri Pintar menjelang 2025.