Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

10 termasuk sembilan beranak maut nahas empat kenderaan

KUALA LUMPUR, 18 DIS: Sepuluh individu maut dalam kemalangan melibatkan tiga kereta dan sebuah treler di kawasan Rehat & Rawat USJ Lebuhraya ELITE menghala Shah Alam, malam tadi.

Mangsa yang meninggal dunia ialah lima kanak-kanak lelaki dan tiga kanak-kanak perempuan serta seorang lelaki dan seorang wanita.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Norazam Khamis berkata kemalangan membabitkan dua Proton Wira, sebuah Perodua Axia dan sebuah treler.

Beliau berkata sepasukan 12 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya dan BBP Puchong dikejarkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan jam 11.42 malam tadi untuk operasi menyelamat.

“Nahas berkenaan melibatkan 17 mangsa yang 10 daripadanya disahkan meninggal dunia. Mangsa yang maut adalah seorang lelaki dan seorang wanita manakala lapan lagi membabitkan lima kanak-kanak lelaki dan tiga kanak-kanak perempuan,” katanya dalam kenyataan pagi ini.

Norazam berkata mangsa yang maut dikenali sebagai Norul Naziah Buyong, 37, dan lapan anaknya iaitu bayi lelaki berusia 10 bulan, Muhammad Raid Fathi Abd Razak, Puteri Nur Ain Syalwana Abd Razak, 3; Muhammad Hidayat Hakimie Abd Razak, 7; Muhamad Rolkaizat Rezky Abd Razak, 9; Muhamad Aizat Syazwan Abd Razak, 10; Puteri Hidayah Abd Razak, 12; Razatul Aliah Abd Razak, 16; Muhamad Razarul Amin Abd Razak, 17.

Seorang lagi yang maut ialah mekanik Mohamad Rahimibin Rolex berusia 27 tahun.

“Mangsa yang cedera suami kepada Norul Naziah dikenali sebagai Abd Razak Majit, 50; dan sepupu mereka Mimie Nafiesa Abdullah, 19; Ihyat Sufi Shokip serta Ummi Nasuha Annuwar masing-masing berusia 20 tahun,” katanya.

Kesemua mayat dibawa ke Hospital Shah Alam untuk bedah siasat.

Beliau berkata individu yang menaiki treler tidak mengalami sebarang kecederaan dikenali sebagai Mohd Khairol Kamal Abdullah, 45; serta dua anaknya Haiqal Haziq, 19; dan Hafiey Hamziey, 14.

– BERNAMA

10 maut dalam kemalangan tiga kereta dan sebuah treler di R&R USJ Lebuhraya ELITE, awal pagi ini. Foto Bomba Selangor