Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

11 stesen pemindahan sampah pukal dibuka percepat kerja pembersihan

SHAH ALAM, 26 DIS: Sebanyak 11 stesen pemindahan sementara (TS) sampah pukal telah dibuka setakat ini bagi mempercepatkan kerja pembersihan pascabanjir, kata EXCO kerajaan tempatan.

Ng Sze Han berkata semua TS itu merangkumi empat pihak berkuasa tempatan (PBT) iaitu Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Majlis Perbandaran Kajang (MPKJ), Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) dan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ).

“Semua TS ini sedang digunakan secara optimum dengan lebih 50 mesin jentolak dan jengkaut beroperasi di stesen tersebut.

“Kerajaan Negeri mengucapkan terima kasih kepada badan bukan kerajaan (NGO) serta kontraktor persendirian yang turut membantu dalam melaksanakan operasi pembersihan sampah pascabanjir di Selangor,” katanya menerusi kenyataan.

Beliau berkata 11 TS di empat PBT itu ialah:

MBSA
– Seksyen 21
– Seksyen 34
– Kampung Lombong
– Seksyen 25

MPKJ
– Sungai Lui
– Batu 14 Hulu Langat
– Reserve Kubor, Nanding

MPSepang
– Taman Emas Dengkil
– Taman Lestari Mewah, Jenderam
– Business Park, Bandar Baru Salak Tinggi

MBSJ
– Bukit Lanchong

Bagaimanapun Sze Han berkata, pihaknya dimaklumkan terdapat sampah dibuang di kawasan awam termasuk di tepi jalan raya atau lokasi tidak dizonkan sebagai TS.

“Perkara ini akan menyukarkan kerja di mana pihak KDEB Waste Management atau PBT terpaksa membersihkan kawasan tersebut dan seterusnya melewatkan operasi pembersihan sampah pascabanjir.

“Kerajaan Negeri berharap semua pihak dapat bekerjasama membuang sampah pascabanjir di TS berdekatan atau boleh terus membawanya ke Tapak Pelupusan Sampah Tanjung Dua Belas, Kuala Langat dan Jeram, Kuala Selangor,” katanya.

Beliau berkata tiada bayaran yuran dikenakan di kedua-dua tapak pelupusan itu untuk sampah pukal yang disebabkan bencana banjir.