Categories
AGENDA NASIONAL

14 syarikat berminat baik pulih, bangunkan Stadium Shah Alam

SHAH ALAM, 3 DIS: Kerajaan Negeri akan membuat keputusan pada bulan depan untuk memilih salah satu daripada 14 syarikat yang mengemukakan cadangan untuk pembangunan Stadium Shah Alam.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pelbagai tawaran diterima antara 2013 hingga tahun lalu termasuk cadangan menaik taraf stadium di Seksyen 13 di sini selain membina yang baharu.

“Kerajaan Negeri menerima 14 cadangan terhadap stadium tersebut. Ada tawaran RM200 hingga RM800 juta tetapi itu bukan yang kita lihat tetapi lihat kemampuan mereka membangunkan kawasan itu.

“Kita tidak boleh tergesa-gesa kerana ia melibatkan kawasan 80 ekar. Kita kena teliti dulu cadangan yang mana beri impak yang baik. Ada pelbagai cadangan dan tawaran. Ada yang mahu naik taraf, ada yang hendak bina baru,” katanya.

Beliau berkata demikian pada penggulungan perbahasan Belanjawan #Selangor2022 pada sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), hari ini.

Bagaimanapun, katanya, pendirian Kerajaan Negeri setakat ini mahu melihat stadium itu dibaik pulih kerana ia adalah salah satu ikonik di Selangor.

Pada 21 Ogos lalu, Amirudin berkata Stadium Shah Alam yang berusia lebih 20 tahun bakal berwajah baharu menerusi kerja naik taraf keseluruhan kompleks itu bermula tahun depan.

Beliau berkata proses itu termasuk dalam cadangan pembangunan semula kawasan sekitarnya yang diusahakan Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.