Categories
AGENDA EXCO NASIONAL SELANGOR

141 bakul makanan diagih kepada penduduk Orang Asli terjejas banjir

KUALA LANGAT 23 DIS: Sebanyak 141 bakul makanan diagihkan kepada penduduk Orang Asli di enam perkampungan di Sepang dan Kuala Langat yang terjejas akibat banjir, kata EXCO hal ehwal Orang Asli.

Hee Loy Sian berkata kampung terlibat di dua daerah itu ialah Kampung Orang Asli Bukit Tampoi, Kampung Orang Asli Tampoi Seberang, Kampung Orang Asli Bukit Serdang, Kampung Orang Asli Jambu, Kampung Orang Asli Kelinsing dan Kampung Orang Asli Bakok.

“Saya melawat Kampung Orang Asli Bukit Tampoi, Kampung Orang Asli Tampoi Seberang dan Kampung Orang Asli Bukit Serdang. Paling terjejas ialah Kampung Orang Asli Bukit Serdang kerana mereka terputus hubungan, tiada pengangkutan dan air setinggi paras dada.

“Ketika agihan bantuan dibuat, mereka meminta Kerajaan Selangor dan persekutuan menyumbang bantal, selimut, ‘water jet pump’ dan bot untuk kegunaan keluar dan masuk. Kita ambil maklum dan akan hantar bantuan secepat mungkin selewatnya esok (hari ini) kerana perlukan masa membelinya,” katanya ditemui di Kampung Orang Asli Bukit Serdang semalam.

Terdahulu, Loy Sian meredah banjir sejauh satu kilometer (km) bertemu dengan penduduk Orang Asli untuk mengagihkan bantuan keperluan harian.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan secara keseluruhan jumlah penduduk Orang Asli terkesan akibat banjir ialah 660 individu.

“Mereka yang terjejas akan dibantu daripada semua aspek termasuk sama ada ketika banjir mahupun pasca banjir,” katanya.

Hujan lebat luar biasa antara 17 hingga 19 Disember lalu, lebih dua kali ganda taburan tertinggi sebelum ini iaitu kira-kira 180mm, mengakibat banyak lokasi di negeri ini ditenggelami air.

Susulan itu, semua aset Kerajaan Negeri dan agensi persekutuan termasuk bomba, polis dan tentera dikerah bagi memindahkan mangsa ke tempat selamat selain mengagih barang keperluan asas.