Categories
AGENDA NASIONAL

20 lelaki ditahan dalam operasi samseng jalanan di Kuala Lumpur

KUALA LUMPUR, 12 DIS: Polis menahan 20 lelaki tempatan atas pelbagai kesalahan trafik dalam operasi Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur di sekitar pusat bandar dan beberapa lebuh raya semalam.

Op Samseng Jalanan dan Op Motosikal dari pukul 9 malam hingga 4 pagi itu bermula sejak Jumaat lepas dijalankan di Jalan Ipoh, Jalan Raja Laut, Jalan Chow Kit, Lebuhraya Duta-Ulu Klang (DUKE) dan Lebuh Raya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH).

Ketua (JSPT) Kuala Lumpur ACP Sarifudin Mohd Salleh berkata kesemua suspek berusia antara 20 dan 50 tahun itu disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya, selain Seksyen 119(2) APJ 1987 dan Seksyen 45A (1) APJ 1987 kerana memandu di bawah pengaruh alkohol.

“Polis turut mengeluarkan 251 saman atas pelbagai kesalahan dan menyita enam motosikal di bawah Seksyen 64(1) APJ 1987 atas kesalahan mengubah suai struktur kenderaan. Motosikal yang disita akan diambil tindakan pemeriksaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) serta diarah mengubah ke struktur asal,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sarifudin berkata pihaknya akan terus mempertingkatkan operasi pada hujung minggu bagi mencegah dan membanteras sepenuhnya aktiviti samseng jalanan sekali gus menjaga keselamatan pengguna jalan raya.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan atau mempunyai maklumat boleh menghubungi JSPT Jalan Tun H.S Lee di talian 03-2071 9999 atau talian utama JSPT Kuala Lumpur di talian 03-20260267/69 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.

-BERNAMA