Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

30,632 mangsa banjir diselamat, ditempatkan ke 203 pusat pemindahan

SHAH ALAM, 21 DIS: Sebanyak 203 pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di sembilan daerah seluruh negeri bagi menempatkan 30,632 mangsa banjir setakat jam 8 pagi.

Perkara itu dimaklumkan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari di Twitternya pagi ini.

Beliau turut memaklumkan banjir di Kampung Baru Hicom, Seksyen 26 di sini masih dalam ketinggian tiga kaki dan majoriti penduduk tidak mahu keluar.

“Anggaran 2500 orang masih di sana. Bantuan makanan dihantar buat semua penduduk untuk tengah hari dan malam oleh Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA),” katanya.

Sementara itu, dalam hantaran di Instagram, Amirudin memaklumkan beliau akan membantu mangsa yang masih terperangkap di Bukit Changgang dan Bandar Sri Ehsan di Kuala Langat.

Semalam, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan menyertai misi bantuan menyelamatkan mangsa banjir di Kampung Baru Hicom.

MBSA pula mengagih minyak masak, biskut, air mineral, lampin pakai buang dan tuala wanita di pusat pemindahan sementara di Dewan Dahlia, Seksyen 24.

Hujan lebat luar biasa antara 17 hingga 19 Disember lalu, lebih dua kali ganda taburan tertinggi sebelum ini iaitu kira-kira 180mm, mengakibat banyak lokasi di negeri ini ditenggelami air.

Susulan itu, semua aset Kerajaan Negeri dan agensi persekutuan termasuk bomba, polis dan tentera dikerah bagi memindahkan mangsa ke tempat selamat selain mengagih barang keperluan asas.