Categories
ADN SELANGOR

400 pelajar DUN Meru dapat bantuan persekolahan tahun depan

MERU, 13 DIS: Seramai 400 pelajar sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Meru bakal menerima bantuan melalui program Kembali Ke Sekolah untuk sesi 2022.

Wakil rakyatnya berkata setiap seorang menerima RM100 sumbangan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI dan pusat khidmat DUN.

“Kita harap sumbangan ini dimanfaatkan sepenuhnya bagi membeli pakaian atau peralatan sekolah, bukan guna beli barangan lain,” kata Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar.

Beliau turut berusaha mendapatkan bantuan daripada syarikat korporat yang menjalankan perniagaan di Meru bagi membolehkan lebih ramai pelajar menerima manfaat.

“Antaranya Top Glove dan Kumpulan Syarikat KOSSAN. Kita akan cuba dapatkan bantuan mereka,” katanya.

Sebelum ini, EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han menggalakkan bantuan perubatan dan keperluan sekolah diberi kepada penduduk bagi meringankan beban.

Jelasnya, inisiatif itu penting memandangkan sesi persekolahan bakal bermula selain permintaan untuk bakul makanan semakin berkurang.