Categories
SELANGOR

42 graduan Kuis dinobat pelajar terbaik

KAJANG, 1 DIS: Seramai 42 graduan Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis) dinobatkan sebagai pelajar terbaik pada istiadat konvokesyen ke-23 yang diadakan mulai hari ini hingga 6 Disember.

Menurut pemangku Rektor daripada jumlah itu, lapan daripadanya adalah penerima hadiah khas iaitu seorang menerima Anugerah DiRaja Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor diikuti Anugerah Dato’ Menteri Besar (satu).

Prof Madya Dr Mohd Farid Ravi Abdullah berkata tiga lagi penerima bagi Anugerah EXCO Kerajaan Selangor, Anugerah Rektor (satu), Anugerah Kepimpinan Siswa (satu) dan Anugerah Kepimpinan Siswi (satu).

“Setinggi-tinggi tahniah saya ucapkan kepada mahasiswa ini di atas usaha keras yang mereka berikan sepanjang pengajian. Diharap ia menjadi sumber inspirasi kepada pelajar Kuis yang lain untuk lebih berjaya.

“Anugerah ini juga merupakan komitmen berterusan Kuis dalam usaha melahirkan lebih ramai tenaga profesional muslim, Dai, Ulama dan Umara’ yang mampu menyumbang kepada negara serta memimpin masyarakat,” katanya.

Seramai 2,407 graduan peringkat Ijazah Doktor Falsafah, Ijazah Sarjana Muda dan Diploma diraikan menerusi Majlis Konvokesyen yang diadakan di Pusat Konvensyen Kuis mulai hari ini hingga 6 Disember.

Fakulti Pengurusan dan Muamalah melahirkan graduan tertinggi iaitu seramai 836 diikuti Fakulti Pengajian Peradaban Islam (815), Fakulti Syariah dan Undang-Undang (371), Fakulti Pendidikan (226) dan Fakulti Sains dan Teknologi Maklumat (159).