Categories
AGENDA NASIONAL

4,362 kes baharu, 98 peratus tiada gejala, gejala ringan

KUALA LUMPUR, 17 DIS: Kes baharu Covid-19 dalam negara merekodkan sedikit peningkatan dengan 4,362 kes dilaporkan hari ini berbanding 4,262 semalam menjadikan jumlah kumulatif kes kini 2,711,764.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata daripada jumlah kes baharu tersebut,  4,334 adalah kes jangkitan tempatan manakala 28 lagi kes import.

“Sebanyak 89 kes atau dua peratus adalah kategori tiga, empat dan lima manakala 4,273 kes atau 98 peratus melibatkan kategori satu dan dua”, katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagi kes sembuh, Dr Noor Hisham berkata 5,098 kes dicatatkan menjadikan keseluruhan kes pulih kini 2,625,245, manakala 400 kes dirawat di Unit Rawatan Rapi dengan 198 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

Beliau berkata 12 kluster baharu dikesan hari ini dan jumlah kluster masih aktif meningkat kepada 257, selain nilai Rt (kadar kebolehjangkitan) di Malaysia setakat semalam turun kepada 0.90.

Selain itu, Dr Noor Hisham berkata perincian nilai RT setakat 16 Dis mengikut negeri menyaksikan Negeri Sembilan mencatatkan nilai tertinggi dengan nilai 1.02, diikuti Pahang dan Pulau Pinang masing-masing dengan nilai 1.00.

— BERNAMA