Categories
AGENDA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

46 pusat pemindahan dibuka, lengkap kemudahan asas

SHAH ALAM, 18 DIS:  Kerajaan Negeri membuka 46 pusat pemindahan sementara (PPS) bagi menempatkan 3,582 individu selepas kediaman mereka dimasuki air.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata setakat jam 5 petang tadi,  pengoperasian PPS  melibatkan daerah Klang, Petaling, Sepang, Kuala Langat, dan Kuala Selangor.

“Kesemua PPS ini akan dilengkapi keperluan asas seperti pakaian, makanan, cecair pembasmi kuman, pelitup muka serta bilik kecil bagi melindungi keperibadian keluarga masing-masing,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Beliau berkata memandangkan masih bergelut dengan endemik penularan Covid-19, mangsa banjir akan melalui saringan secara berkala dan percuma untuk mengelakkan daripada tercetusnya kes di PPS.

“PPS khusus akan disediakan bagi mangsa yang dikesan positif Covid-19,” katanya.

Jabatan Meteorologi Malaysia (Met Malaysia) menjangkakan hujan sangat lebat berterusan di Sabak Bernam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak, Petaling, Kuala Langat dan Hulu Langat.

Amaran sama turut dikeluarkan bagi Perak, Kelantan, Pahang, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Sekiranya anda memerlukan pertolongan, sila hubungi Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor di talian 03-50350920, ataupun nombor-nombor yang tertera di bawah.

  • Majlis Perbandaran Klang – 03-3374 8845
  • Majlis Bandaraya Shah Alam – 03-5522 2787
  • Majlis Perbandaran Kuala Langat – 03-31822566
  • Hospital Tengku Ampuan Rahimah – 03-3323 9478
  • Pejabat Kesihatan Daerah Klang – 03-3323 9554
  • PDRM Klang Selatan – 03-3372 2222
  • PDRM Klang Utara – 03-3291 3344
  • Jabatan Kebajikan Masyarakat – 03-3341 3703
  • Jabatan Kerja Raya – 03-3371 4040
  • Jabatan Pengairan dan Saliran Selangor – 03-3371 2464
  • Angkatan Pertahanan Awam – 03-3371 0820