Categories
EXCO SELANGOR

50 pengusaha dapat geran bantuan rancak semula pelancongan

PETALING JAYA, 4 DIS: Seramai 50 penggiat pelancongan negeri mendapat manfaat geran bantuan kewangan RM1 juta oleh Kerajaan Selangor bagi merancakkan semula sektor berkenaan.

EXCO Pelancongan Hee Loy Sian berkata geran bernilai RM20,000 setiap satu membantu meningkatkan semula aktiviti mereka melalui misi jualan, pameran dan persidangan.

“Kerajaan Negeri berharap geran itu dapat membantu merancakkan semula industri yang terjejas ketika Covid-19,” katanya selepas merasmikan pameran pelancongan Pusing Selangor Dulu di sini hari ini.

Geran itu sebahagian bantuan kepada sektor pelancongan negeri membabitkan peruntukan berjumlah RM2.55 juta bawah Pakej Kita Selangor 2.0 yang diumum pada Jun lalu.

Selain geran, dana itu juga termasuk baucar Pelancongan Selangor 2.0, program latihan pembelajaran digital serta bantuan kewangan sekali bayar kepada persatuan pelancongan negeri.

Belanjawan Selangor 2022 pula menyediakan inisiatif berjumlah RM114.6 juta bagi tempoh 2021 hingga 2025 untuk membantu penggiat pelancongan antaranya geran pemulihan serta promosi.

Usaha merangsang semula industri itu turut membabitkan pembangunan aplikasi rasmi pelancongan negeri, Go Selangor yang dijangka beroperasi Februari depan.