Categories
AGENDA GLOBAL

50 produk makanan halal Malaysia boleh didapati di Singapura

SINGAPURA, 6 DIS: Lima puluh produk makanan halal baharu buatan Malaysia tersedia di pasar raya di sini menerusi Program ‘Halal Route to Market’ (HalMap), inisiatif Maybank Islamic untuk meluaskan rangkaian perniagaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Malaysia.

Maybank Islamic melancarkan Program HalMap dengan objektif untuk membolehkan PKS yang berpangkalan di Malaysia mengembangkan perniagaan halal mereka ke luar negara.

“Pelanggan kami melihat kepada kami untuk keperluan perbankan patuh shariah mereka, oleh itu Program HalMap telah membangunkan ekosistem yang membentuk pembiayaan dan pembangunan perniagaan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Singapura, Dr John Lee dalam satu kenyataan hari ini.

Lee berkata program itu dapat dilakukan kerana keupayaan Maybank dalam memberi perkhidmatan kepada koridor perdagangan Singapura-Malaysia dan pengetahuannya mengenai rantaian bekalan halal.

“Kami berada dalam kedudukan yang baik untuk membantu meningkatkan perniagaan PKS Malaysia dan pada masa yang sama membawa lebih banyak pilihan produk halal berkualiti kepada pengguna Singapura.

“Selain itu, kami merancang untuk memudahkan platform yang sesuai untuk pelanggan PKS Singapura yang terlibat dalam perniagaan halal untuk dipasarkan ke negara lain seperti dalam penjagaan kesihatan halal dan teknologi kewangan (fintech) untuk sektor halal,” katanya.

Di bawah Program HalMap, Maybank akan menyediakan pelanggan PKS dengan platform pengedaran, khidmat nasihat dan latihan untuk memasarkan produk mereka dalam segmen pasaran barangan pengguna (FMCG) yang bergerak pantas.

Program iti dimulakan dengan pemilihan 10 PKS Malaysia untuk menceburi pasaran makanan halal di Singapura.

50 produk baharu untuk dipasarkan itu boleh didapati di Eccellente by HAO Mart yang terletak di pusat beli-belah Kinex.

-BERNAMA