Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

7,000 jemaah sertai program munajat mohon negeri sejahtera

SHAH ALAM, 31 DIS: Kira-kira 7,000 jemaah di seluruh negeri ini menyertai Program Selangor Memohon Kesejahteraan Allah Menjelang Tahun 2022.

Dato’ Menteri Besar berkata di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah sahaja lebih 1,000 jemaah sementara selebihnya di masjid-masjid daerah.

Jelas Dato’ Seri Amirudin Shari sambutan tahun baharu kali ini dalam suasana sedikit berduka akibat banjir yang melanda Selangor dan beberapa tempat dalam negara.

“Sebenarnya acara ini bukan asing dan setiap tahun ada program begini cuma kandungan lebih pelbagai yang mana ada keagamaan dan diikuti detik jam 12 malam di dataran, namun tahun ini sesuai dengan keadaan negara yang dilanda bah besar.

“Alhamdulillah sambutan sangat baik daripada komuniti dan masyarakat. Walaupun menerima jumlah ramai tetapi masih mengikuti tatacara piawai operasi (SOP) MKN (Majlis Keselamatan Negara),” katanya ketika ditemui di masjid negeri malam ini.

Turut hadir EXCO Hal Ehwal Agama Islam Mohd Zawawi Ahmad Mughni, Mufti Selangor Dato’ Dr Anhar Opir, Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor Dato’ Mohd Shahzihan Ahmad dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Selangor (LZS) Saipolyazan Mat Yusop.

Terdahulu program mohon negeri sejahtera di masjid negeri dimulakan dengan solat maghrib secara berjemaah diimamkan Imam Besar Masjid Negeri Muhammad Farhan Wijaya sebelum diteruskan dengan solat taubat, awabin, hajat dan bacaan yasin.

Program diteruskan dengan bacaan zikir munajat yang diketuai Imam Masjid Negeri Abdul Karim Omar.

Dr Anhar turut memimpin doa khas pada program di masjid negeri antaranya doa awal tahun, doa dihindarkan Covid-19 dan bencana serta musibah banjir.

Program berakhir dengan solat isyak secara berjemaah.