Categories
AGENDA NASIONAL

7,258 peniaga kecil dibimbing ke arah digital

SHAH ALAM, 2 DIS: Seramai 7,258 peniaga kecil negeri ini dibimbing untuk beralih ke arah digital setakat November bagi mengelak tertinggal dalam arus pemodenan.

EXCO Perdagangan dan Perindustrian Dato’ Teng Chang Khim berkata golongan itu mendapat tunjuk ajar daripada Rakan Digital Selangor (RDS) yang diterajui belia.

“RDS melantik 1,000 belia yang bersama menggembleng tenaga ke lapangan bagi membimbing dan memimpin golongan sasar agar tidak ketinggalan bagi menghadapi generasi digital.

“Duta RDS juga mengenal pasti sejumlah 20,919 golongan sasaran yang berpotensi untuk didaftarkan,” katanya pada sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Beliau mewakili Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menjawab soalan wakil rakyat Banting Lau Weng San berhubung perkembangan RDS tahun ini.

Chang Kim berkata sebanyak RM3 juta dibelanjakan setakat ini dan akan diteruskan tahun depan yang dipergiat Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) bagi membantu golongan sasar.

Belanjawan negeri yang dibentangkan Jumaat lalu menyediakan dana tambahan RM6 juta sumbangan PNSB bagi meneruskan inisiatif tersebut dan Platform Selangor (PLATS).