Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

95 SJKT negeri terima bantuan infrastruktur hampir RM5 juta

GOMBAK, 11 DIS: Sebanyak 95 Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) seluruh Selangor menerima bantuan infrastruktur dengan dana berjumlah RM4.9 juta.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata bantuan satu sesi disalurkan secara dalam talian bagi memastikan sekolah terbabit mampu bertahan dalam tempoh pandemik Covid-19.

“Agihan kepada SJKT ini sekali gus melengkapkan hampir RM24 juta diperuntukkan Kerajaan Negeri untuk membantu 637 sekolah di seluruh Selangor yang memerlukan.

“Besar harapan saya agar bantuan diberikan digunakan sebaiknya kerana ia menjadi permulaan kepada hubungan erat antara pihak sekolah dan Kerajaan Negeri,” katanya pada majlis penyerahan cek cura bantuan di SJKT Batu Caves hari ini.

Sementara itu, Amirudin berkata mulai tahun ini, permohonan bantuan sekolah dilaksanakan sepenuhnya dalam talian melalui laman sesawang Sistem Smart Inisiatif Peduli Rakyat (SSIPR).

Jelasnya, akses kepada sistem berkenaan juga boleh dibuat melalui aplikasi SSIPR bermula tahun depan bagi memudahkan dan mempercepat proses permohonan.

Terdahulu, Amirudin menyerahkan bantuan berjumlah RM9 juta yang memanfaatkan 137 Sekolah Jenis Kebangsaan Cina, Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Cina, Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) dan Sekolah Mubaligh di SMPC Ping Hwa, Klang.

Beliau kemudian menyampaikan sumbangan berjumlah RM9.3 juta untuk kegunaan 405 Sekolah Agama Rakyat (SAR) di Sekolah Kelas al-Quran dan Fardu Ain (Kafa) Al-Maarof, Johan Setia, Klang