Categories
AGENDA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Agensi negeri pindah mangsa banjir, Air Selangor sedia tangki di pusat pemindahan

SHAH ALAM, 18 DIS: Kerajaan Negeri mengerahkan bomba, polis dan tentera untuk memindahkan mangsa banjir ke tempat selamat selain mengagihkan keperluan asas.

Dato’ Menteri Besar turut mengarahkan Pengurusan Air Selangor (Air Selangor) menyediakan tangki bergerak di pusat pemindahan sementara (PPS) yang beroperasi untuk kegunaan penduduk.

“Kesemua usaha ini akan dikoordinasi oleh Smart Selangor Operations Centre (SSOC) yang beroperasi 24 jam di ibu pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari dalam kenyataan.

Beliau menambah pasukan sukarelawan Team Selangor dan SERVE juga digerakkan bagi membantu proses menempatkan penduduk di PPS, mengagihkan bantuan awal dan proses pembersihan selepas air surut.

Jelas Amirudin, sebanyak 134 pintu air terpaksa ditutup akibat kejadian air pasang bagi mengelakkan air melimpah keluar ke kawasan perumahan penduduk berdekatan kunci air.

“Tambahan kepada itu, sebanyak 93 pam beroperasi secara penuh untuk mempercepat aliran air ke sistem perparitan sungai bagi mengawal banjir yang sedang berlaku di lima daerah,” katanya lagi.

Jabatan Meteorologi Malaysia (Met Malaysia) menjangkakan hujan sangat lebat berterusan di Sabak Bernam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak, Petaling, Kuala Langat dan Hulu Langat.

Amaran sama turut dikeluarkan bagi Perak, Kelantan, Pahang, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Orang ramai yang memerlukan pertolongan boleh menghubungi Unit Pengurusan Bencana Selangor di talian 03-50350920 atau nombor-nombor yang tertera di bawah: