Categories
AGENDA NASIONAL

Amirudin ucap takziah pemergian bekas MB Johor

SHAH ALAM, 22 DIS: Dato’ Menteri Besar merakamkan ucapan takziah kepada keluarga bekas Menteri Besar Johor Datuk Osman Sapian atas pemergiannya.

“Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang yang beriman. Al-Fatihah,” tulis Dato’ Seri Amirudin Shari di Twitter.

Semalam, Bernama melaporkan Osman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Kempas meninggal dunia di rumah anaknya di Damansara, Kuala Lumpur pada pukul 11.45 malam.

Beliau yang turut menyandang jawatan ketua bahagian Bersatu Ayer Hitam dimasukkan ke Hospital Pakar KPJ Johor selepas diserang strok ringan pada November lalu dan dirawat di Hospital Pengajar Universiti Putra Malaysia Selangor.

Osman dilantik sebagai Menteri Besar Johor ke-16 selepas Pilihan Raya Umum pada 2018 bagi tempoh 12 Mei 2018 sehingga 8 April 2019.