Categories
AGENDA NASIONAL SELANGOR

Aplikasi digital Selangor perlu dipantau, elak pengguna berdepan masalah

SHAH ALAM, 9 DIS: Aplikasi digital yang banyak dibangunkan di Selangor pada tahun hadapan perlu dipantau supaya kualiti sentiasa terjamin.

Pengarah teknologi maklumat dan kejuruteraan Baituljannah Sdn Bhd berkata aplikasi harus berjalan lancar dan mudah kerana memberi kesan kepada masyarakat terutama individu kurang mahir berkenaan pendigitalan.

Muhammad Azrain Kamaruddin berkata beliau yakin Selangor mampu membangunkan aplikasi berpiawaian tinggi berdasarkan nilai peruntukan diumumkan dalam Belajawan #Selangor2022.

“Usaha Selangor mahu menjadi negeri pintar unggul menjelang 2025 sangat bagus seiring perkembangan teknologi semasa. Bagaimanapun perlu pastikan kualitinya supaya urusan penduduk lancar.

“Harap semua aplikasi sesuai digunakan di mana-mana. Gaya hidup masyarakat sudah berubah ketika pasca Covid-19 apabila beralih ke dunia dalam talian jadi faktor ini perlu diambil kira,” katanya kepada SelangorKini.

Pada 26 November, ketika membentangkan Belanjawan #Selangor2022 Dato’ Menteri Besar mengumumkan peruntukan RM316 juta bagi merealisasikan visi Selangor sebagai negeri pintar unggul menjelang 2025.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata agenda Smart Selangor dan pelan pendigitalan menjadikan negeri ini cekap serta pantas ketika berhadapan cabaran pandemik Covid-19 dengan melancarkan inisiatif berasaskan digital antaranya Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah), Platform Selangor (PLATS) dan e-Bazar.