Categories
AGENDA NASIONAL

Bajet 2022 lulus di peringkat jawatankuasa

KUALA LUMPUR, 13 DIS: Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2022 (Bajet 2022) peringkat Jawatankuasa.

Rang Undang-Undang itu yang merupakan belanjawan pertama di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob diluluskan setelah melalui 13 hari tempoh perbahasan dan penggulungan bermula 22 November bagi setiap kementerian terlibat.

Bajet 2022 yang dibentangkan Menteri Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz pada 29 Okt lepas, menyediakan peruntukan keseluruhan berjumlah RM332.1 bilion, terbesar dalam sejarah belanjawan negara dengan matlamat memulihkan ekonomi kesan pandemik Covid-19.

Dewan Rakyat meluluskan Bajet 2022 di peringkat dasar pada 18 November selepas dibahaskan selama tujuh hari bermula 1 November dan melalui sesi penggulungan mulai 15 November.

Menurut takwim Dewan Rakyat, persidangan yang akan berlangsung sehingga Khamis ini diteruskan dengan rang undang-undang dan urusan kerajaan yang lain.

Persidangan esok dijangka melibatkan pembentangan bacaan kali kedua Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2021 selepas bacaan kali pertama pada 3 November, antaranya untuk memasukkan negeri-negeri Tanah Melayu dan negeri-negeri Borneo.

Menurut rang undang-undang itu, Perkara 1 Perlembagaan Persekutuan dicadang dipinda dengan menggantikan Fasal (2) kepada Negeri-Negeri Persekutuan terdiri daripada:

(a) Negeri-negeri Tanah Melayu iaitu Johor, Kedah, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Selangor dan Terengganu dan

(b) Negeri-Negeri Borneo iaitu Sabah dan Sarawak

-BERNAMA