Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Banjir: 11,194 keluarga di pusat pemindahan terima bantuan selewatnya 20 Januari

HULU LANGAT, 29 DIS: Seramai 11,194 keluarga yang berpindah di pusat pemindahan sementara (PPS) akibat banjir menerima manfaat Selangor Bangkit selewat-lewatnya 20 Januari ini.

Kerajaan Selangor mula mengagihkan bantuan sebanyak RM1,000 kepada mangsa banjir bermula semalam.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata semua keluarga yang ditempatkan di PPS sama ada milik Kerajaan Negeri atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) layak menerima manfaat tersebut.

“Kita berhubung dengan unit pembangunan persekutuan untuk agihkan bantuan sekali. Saya telah arahkan semua daerah-daerah untuk menggunakan proses pemberian bantuan yang sama di PPS lain.

“Bagi yang tidak berpindah pula, ketua kampung, ahli majlis atau pemimpin akar umbi persatuan penduduk akan dapatkan senarai mangsa banjir terlibat,” katanya selepas menyampaikan sumbangan Selangor Bangkit kepada 228 keluarga di PPS Sungai Serai di sini hari ini.

Beliau turut menyampaikan sumbangan di PPS Sekolah Menengah Kebangsaan Abdul Jalil dan Sekolah Rendah Agama Dusun Nanding.

Tambah Amirudin, beliau akan mempengerusikan mesyuarat EXCO pada Jumaat ini bagi membincangkan cadangan bantuan lain termasuk melibatkan golongan petani dan peniaga.

“Kedua-dua golongan ini juga terjejas akibat banjir. Namun, kita perlu memberi fokus kepada proses pembersihan pasca banjir terlebih dahulu,” katanya.

Pada 21 Disember, Kerajaan Negeri mengumumkan dana RM100 juta bagi permulaan program Selangor Bangkit susulan insiden banjir di beberapa daerah dua minggu lalu.

Selain pemulihan infrastruktur, peruntukan itu meliputi bantuan RM10,000 kepada keluarga mangsa banjir yang terkorban dan RM1,000 kepada ketua isi rumah bagi membaik pulih semula kediaman.

Individu yang layak menerima bantuan melibatkan tiga kategori iaitu mangsa yang berpindah ke PPS berwarta, swasta serta mereka yang kekal di rumah.

Sekurang-kurangnya 30,000 keluarga terkesan banjir akan menerima manfaat RM1,000 melalui inisiatif Selangor Bangkit.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mendengar luahan mangsa banjir selepas menyampaikan bantuan Selangor Bangkit di Sekolah Menegah Kebangsaan Abdul Jalil, Hulu Langat pada 29 Disember 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI