Categories
AGENDA AGENSI NASIONAL SELANGOR

Banjir: Bantuan makanan, keperluan diri untuk penduduk Bukit Changgang enggan pindah

SHAH ALAM, 21 DIS: Bantuan makanan kering dibekalkan kepada 10 keluarga di Pangsapuri D’ Menara Bukit Changgang, Kuala Langat yang enggan berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) susulan banjir.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata penghuni terbabit turut disediakan barangan lain seperti lilin dan ‘powerbank’ bagi memenuhi keperluan berikutan ketiadaan bekalan elektrik di situ.

“Mereka memilih untuk tinggal di sana kerana rasa selamat. Mereka berada di tingkat tiga ke atas selain memaklumkan bekalan makanan juga sudah cukup.

“Kita tetap hantar bantuan supaya dapat tampung bekalan sedia ada. Sekurang-kurangnya untuk tempoh seminggu atau sehingga air surut sepenuhnya, namun saya lihat sudah ada penurunan signifikan,” katanya.

Beliau ditemui selepas menyertai program gotong-royong Dapur Ehsan anjuran Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) di kediaman rasminya di sini hari ini.

Sementara itu, Amirudin berkata hampir 600 keluarga menginap di rumah teres, rumah kampung dan pangsapuri sekitar Bukit Changgang yang terkandas banjir berjaya dipindahkan ke PPS sejak Ahad hingga semalam.

Beliau menjelaskan kesemua mangsa dipindahkan agensi pengurusan bencana negeri menggunakan lebih 17 bot pihak berkuasa tempatan (PBT) dan individu dalam operasi menyelamat bermula jam 10 pagi hingga 10 malam.

“Kawasan Bukit Changgang yang menjadi masalah ialah perlu dicapai dengan bot untuk selamatkan belasan ribu penduduk,” katanya.