Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Banjir di Sri Muda surut sepenuhnya, proses pembersihan mula hari ini

SHAH ALAM, 23 DIS: Air banjir di kawasan Taman Sri Muda surut sepenuhnya awal pagi tadi, proses pembersihan akan bermula hari ini, maklum Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata operasi tapak pelupusan sampah Jeram akan dibuka sehingga jam 11 malam bagi mempercepat proses pembersihan.

“Air sudah surut sepenuhnya awal pagi tadi, proses pembersihan juga akan bermula hari ini.

“Sebagai mempermudah dan mempercepat proses pembersihan lori-lori mengangkut sampah akibat banjir, operasi tapak pelupusan sampah Jeram milik Worldwide Holding akan dibuka sehingga jam 11 malam,”katanya menerusi Twitter.

Dalam pada itu, Amirudin berkata pihaknya telah meminta Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) memindahkan kenderaan yang tersadai ke lokasi bersesuaian bagi memudahkan pergerakan.

Kawasan Taman Sri Muda di sini antara yang terjejas teruk akibat banjir pada 18 Disember lalu.

Susulan kejadian itu, seramai 14 orang dilaporkan meninggal dunia setakat semalam manakala, ribuan penduduk dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS).

Warga emas membuang pakaian yang rosak akibat ditenggelami banjir di Kampung Kebun Bunga, Batu Tiga, Shah Alam pada 22 Disember 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

 

Pakaian rosak akibat banjir dibuang di Kampung Kebun Bunga, Batu Tiga, Shah Alam pada 22 Disember 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI