Categories
AGENSI SELANGOR

Banjir: Lapan kawasan alami gangguan operasi kutip sampah

SHAH ALAM, 20 DIS: Susulan banjir luar biasa yang melanda negeri ini Sabtu lalu, beberapa kawasan mengalami gangguan pengoperasian kutipan sisa pepejal.

Pengarah Urusan KDEB Waste Management (KDEBWM) Ramli Mohd Tahir berkata daerah yang terlibat ialah Klang, Shah Alam, Kajang, Ampang Jaya dan Kuala Langat.

“Kerja kutipan sampah domestik dan pukal mengalami sedikit kelewatan dan kesukaran disebabkan
terdapat kawasan yang ditutup serta beberapa lori mengalami kerosakan ekoran bencana ini.

“Kami memohon agar penduduk untuk meletakkan sisa domestik di tong sampah atau kebuk sampah
manakala sampah pukal di hadapan rumah atau di tong roll-on-roll-off (RORO) yang disediakan,” katanya dalam kenyataan.

Tambahnya, operasi kutipan akan dijalankan secara beransur-ansur dan mungkin mengambil sedikit masa
untuk selesai.

“Untuk makluman, beberapa jalan ke tapak pelupusan masih ditutup menyebabkan proses pelupusan sampah turut mengalami kesukaran dan kelewatan,” katanya.