Categories
AGENDA NASIONAL

Banjir: Peminjam PTPTN terkesan boleh tangguh bayar tiga bulan

KUALA LUMPUR, 25 DIS: Kerajaan bersetuju memberikan penangguhan bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) selama tiga bulan kepada peminjam yang terkesan akibat banjir yang melanda negara, baru-baru ini.

Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata keputusan itu diambil selari dengan aspirasi kerajaan yang prihatin serta komited membantu Keluarga Malaysia yang terlibat dalam bencana banjir mengakibatkan kemusnahan harta benda termasuk peminjam PTPTN.

“Peminjam yang terkesan boleh mengemukakan permohonan kepada PTPTN bermula 28 Dis hingga 31 Mac 2022,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Noraini berkata butiran lanjut mengenai pelaksanaannya akan diumumkan oleh PTPTN dan berharap penangguhan bayaran balik PTPTN itu dapat meringankan beban peminjam yang terkesan.

— BERNAMA