Categories
AGENSI SELANGOR

Banjir: Penduduk Orang Asli bersyukur Selangor hulur bantuan

KUALA LANGAT, 23 DIS: Penduduk Orang Asli di daerah ini bersyukur apabila Kerajaan Negeri mengumumkan bantuan RM1,000 kepada mangsa banjir.

As Kodou, 48, berkata biarpun sumbangan itu tidak mampu menampung sepenuhnya kerugian dihadapi mereka kerana hampir seluruh kediaman dinaiki air, beliau tetap berterima kasih kepada Kerajaan Negeri.

“Kami terima RM2,000 daripada Selangor dan kerajaan persekutuan. Sedikit sebanyak dapat membantu mengurangkan beban untuk beli keperluan.

“Namun, kami harap ada pihak dapat membantu penduduk mengisi borang bagi memudahkan urusan permohonan terutama yang masih lagi terkandas,” katanya kepada SelangorKini.

Sementara itu, Sau Sambung, 70-an, berkata beliau mengetahuinya selepas anaknya dan penduduk memaklumkan perkara itu pagi semalam.

Penduduk Orang Asli Sau Sambung. Foto SITI ROHAIZAH ZAINAL/SELANGORKINI

“Bantuan ini akan bantu nenek sekeluarga untuk beli keperluan rumah yang penting. Nenek serahkan semuanya kepada anak tetapi terima kasih atas bantuan diberikan,” katanya.

Isnin lalu, Dato’ Menteri Besar mengumumkan peruntukan RM100 juta bagi permulaan program Selangor Bangkit susulan insiden banjir di beberapa daerah mulai Sabtu.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata selain pemulihan infrastruktur, dana itu meliputi bantuan RM10,000 kepada keluarga mangsa banjir yang terkorban.

Selain itu, sumbangan RM1,000 turut diagihkan kepada ketua isi rumah bagi membaik pulih semula kediaman dan barangan yang rosak.