Categories
AGENDA NASIONAL

Banjir Selangor ragut 24 nyawa, MB ucap takziah kepada keluarga mangsa

SHAH ALAM, 23 DIS: Seramai 24 orang dikenal pasti terkorban dalam tragedi banjir di Selangor setakat semalam, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari merakam ucapan takziah kepada semua keluarga mangsa yang terbabit dan berharap mereka diberi kekuatan menghadapi musibah.

“Dukacita dimaklumkan bahawa setakat semalam, tragedi banjir ini telah mencatatkan kematian 24 orang korban. Kerajaan Negeri mengucapkan takziah kepada semua keluarga terlibat.

“Berharap semoga mereka diberi kesabaran, kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi musibah ini,” katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan banjir di Selangor hari ini.

Semalam, Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata dua lagi kematian direkodkan di kawasan banjir Taman Sri Muda.

Perkembangan itu menjadikan jumlah keseluruhan yang maut di Taman Sri Muda ialah 14 orang setakat 6 petang.