SHAH ALAM, 22 DIS: Seorang sukarelawan Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) sanggup meninggalkan rumahnya yang turut terjejas akibat banjir kerana mahu membantu mangsa lain.
V Vijakomar menganggap dirinya bersalah dan ‘berdosa’ jika tidak membantu orang lain dalam kesusahan berikutan sudah biasa berbuat demikian sejak puluhan tahun lalu.
“Saya 40 tahun dalam PBSM kalau tidak tolong rasa bersalah, berdosa dan tidak tenteram, seperti ada yang tidak kena,” katanya ditemui di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil) Ladang Emerald di sini, semalam.
Warga emas berusia 64 tahun itu berkata dia bertugas di PPS berkenaan sejak Isnin lalu dan antara rutinnya ialah mengenal pasti mangsa yang tidak sihat dan menjaga lalu lintas.
Dia berkata dalam kejadian Sabtu lalu, kediaman satu tingkatnya di Taman Sentosa, Klang dinaiki air sehingga paras lutut yang mengakibatkan beberapa perkakasan rumah rosak.
“Saya bertugas dari pagi hingga malam dan kemudian bila balik saya kemas rumah serta cuci barang bersama anak-anak,” katanya.
Hujan lebat luar biasa antara 17 hingga 19 Disember lalu, lebih dua kali ganda taburan tertinggi sebelum ini iaitu kira-kira 180mm, mengakibat banyak lokasi di negeri ini ditenggelami air.
Susulan itu, semua aset Kerajaan Negeri dan agensi persekutuan termasuk bomba, polis dan tentera dikerah bagi memindahkan mangsa ke tempat selamat selain mengagih barang keperluan asas.