Categories
BERITA UTAMA EXCO PBT SELANGOR

BBST Walk@Sepang tarikan baharu, mampu jana ekonomi penduduk

SEPANG, 18 DIS: BBST Walk@Sepang di Bandar Baru Salak Tinggi yang siap pada November bakal menjadi tarikan baharu pengunjung ke daerah ini, kata EXCO kesejahteraan bandar.

Rodziah Ismail berkata pembinaan dilakukan Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) membabitkan belanja lebih RM4 juta itu turut menjadi platform bagi penduduk tempatan menjana ekonomi.

“Tahniah kepada majlis kerana melangkah satu lagi memberikan mercu tanda kepada rakyat.

EXCO Perumahan dan Kesejahteraan Bandar Rodziah Ismail diiringi oleh Yang Dipertua Majlis Perbandaran Sepang Dato’ Abd Hamid Hussain (dua kanan) memotong riben pada Pelancaran BBST Walk@Sepang dan Program Bebas Plastik di Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang pada 17 Disember 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Ini hasrat Kerajaan Negeri yang mahu lihat setiap sudut tidak kira desa atau pekan ada infrastruktur baik untuk kegunaan rakyat,” katanya ketika melancarkan BBST Walk@Sepang dan Program Bebas Plastik.

Program dijalankan sempena sambutan ulang tahun ke-16 MPSepang itu dihadiri Yang Dipertuanya Dato’ Abd Hamid Hussain.

Sementara itu, Abd Hamid berkata lokasi di tapak berkeluasan 5,938 ekar itu juga akan menjadi tarikan pelancong memandangkan kedudukannya berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Klia2.

“Naik taraf kawasan ini melibatkan beberapa kemudahan antaranya dataran awam, pusat penjaja serta laluan basikal dan pejalan kaki.

“Kita indahkan bangunan lorong belakang dengan lukisan mural yang menggambarkan daerah ini antaranya lapangan terbang, F1 (Formula 1) dan Pantai Bagan Lalang,” katanya.