Categories
AGENDA NASIONAL

Bekalan air 28 kawasan wilayah Hulu Langat pulih sepenuhnya

SHAH ALAM, 24 DIS: Bekalan air 28 kawasan wilayah Hulu Langat yang terjejas akibat henti tugas Loji Rawatan Air Cheras Batu 11 pulih sepenuhnya jam 12 tengah hari tadi.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) mengucapkan terima kasih kepada pengguna di atas kesabaran dan kerjasama sepanjang tempoh gangguan bekalan air tidak berjadual berlaku.

“Semua 28 kawasan di Wilayah Hulu Langat yang terjejas telah menerima bekalan air bersih sepenuhnya pada jam 12 tengah hari ini,”maklum agensi itu dalam kenyataan.

Susulan banjir teruk pada Sabtu lalu, beberapa kawasan di Petaling, Hulu Langat dan Kuala Lumpur mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual disebabkan peningkatan paras air serta penutupan bekalan elektrik kecemasan pada Ahad lepas.

Empat LRA yang terjejas ialah LRA Semenyih 2, LRA Sg Langat, LRA Langat 2 dan LRA Cheras Batu 11.

Pengguna boleh merujuk saluran komunikasi rasmi Air Selangor seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter atau hubungi Pusat Perhubungan Air Selangor menerusi talian 15300, manakala pertanyaan dan aduan boleh diajukan di Help Centre dengan melayari www.airselangor.com dan aplikasi Air Selangor.