Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Bekalan air lima wilayah pulih 12 peratus setakat 6 pagi

SHAH ALAM, 17 DIS: Bekalan air di lima wilayah di Selangor terlibat pencemaran bau di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih mencapai tahap pemulihan 12 peratus, setakat jam 6 pagi tadi.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dalam Facebooknya memaklumkan 77.8 peratus kawasan di Hulu Langat sudah mula menerima bekalan manakala 7.6 peratus di Petaling.

Menurutnya, kawasan terjejas di Kuala Langat, Putrajaya dan Sepang belum pulih.

LRA Sungai Semenyih terpaksa dihenti tugas semalam susulan pencemaran bau diesel yang dikesan di Sungai Semenyih pagi semalam.

Berikutan itu, sebanyak 463 kawasan di lima wilayah iaitu Petaling, Hulu Langat, Sepang, Putrajaya dan Kuala Langat mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual.

Air Selangor memaklumkan bekalan air ke kawasan terjejas itu dijangka pulih sepenuhnya 11.30 malam ini selepas proses rawatan air mentah sudah dimulakan berikutan tiada bau dikesan di muka sauk.

Bantuan air alternatif melalui 81 lori tangki air terus digerakkan ke kawasan terjejas dan premis kritikal sepanjang tempoh gangguan bekalan air tidak berjadual.

Pengguna boleh mendapatkan senarai kawasan terlibat menerusi laman sesawang https://hentitugas.airselangor.com/ serta aplikasi Air Selangor.

Perkembangan berkaitan insiden itu akan dimaklumkan dari semasa ke semasa menerusi aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter atau hubungi Pusat Perhubungan Air Selangor di talian 15300.

Pertanyaan dan aduan boleh diajukan di Pusat Bantuan di www.airselangor.com dan aplikasi Air Selangor.