Categories
AGENDA SUKANKINI

Bekas pemain, ketua jurulatih skuad kebangsaan meninggal dunia

KUALA LUMPUR, 31 DIS: Bekas pemain dan ketua jurulatih skuad kebangsaan Datuk M Kuppan meninggal dunia pada usia 85 tahun petang semalam.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam kenyataan malam tadi memaklumkan mendiang yang merupakan pemain negara dalam era 60-an dan membimbing skuad kebangsaan sekitar 70-an akan disemadikan di Butterworth, Pulau Pinang.

Kuppan yang dilahirkan di Bukit Mertajam pada 14 Oktober 1936 diberi jolokan Harimau Bintang atau “Black Panther from Penang” selain “Jetboots” kerana ketangkasannya sebagai penggempur di bahagian serangan.

Memulakan kerjayanya dalam dunia bola sepak bersama Pulau Pinang selaku penyerang dan sayap kanan pada usia 19 tahun, Kuppan adalah anggota skuad kebangsaan bimbingan Choo Seng Quee yang menjulang gelaran juara Pesta Bola Merdeka pada 1958, 1959 dan 1961.

Seangkatan dengan Tan Sri Abdul Ghani Minhat, Sexton Lourdes, Edwin Dutton, Ahmad Nazari Min Zohari, Yusof Bakar, M Govindaraju, Majid Ariff dan Rahim Omar, Kuppan turut menganggotai skuad negara yang mengutip emas di Sukan SEAP 1961 tetapi tidak terpilih ke Sukan Asia 1962.

Mendiang memulakan kerjaya sebagai jurulatih yang berjaya selepas menghadiri kursus kejurulatihan pada 1972 apabila membawa Pulau Pinang menjuarai Piala Malaysia 1974 sebelum menjulang kejuaraan Pesta Bola Merdeka 1976 bersama skuad kebangsaan.

Selepas bersara, mendiang menjadi pengasas kepada Kelab Sukan Blue Cross dan penasihat akademi Bintang Biru.

Kuppan ditawarkan menjadi jurulatih kebangsaan pada 1988 tetapi menolaknya dan tugas itu dipikul Richard Bate.

-BERNAMA