Categories
AGENDA NASIONAL

Belanjawan #Selangor2022 tidak pinggir masyarakat India

SHAH ALAM, 2 DIS: Belanjawan #Selangor2022 turut memberikan fokus kepada masyarakat India, kata EXCO Pembangunan Sosio Ekonomi, V Ganabatirau.

Menurut beliau lebih RM12 juta diperuntuk Kerajaan Negeri kepada masyarakat India dalam belanjawan yang dibentang Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari pada 26 November lalu.

“Bantuan RM5 juta diberi untuk sekolah rendah tamil,  peruntukan anak B40 India sebanyak RM2 juta, program pembudayaan RM500,000 dan program iSeed sebanyak RM1.14 juta.

“Untuk agama Hindu juga menerima bantuan sekitar RM1.8 iaitu peruntukan hal ehwal agama selain Islam, katanya pada sidang media di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini, hari ini.

Jelas beliau, jumlah peruntukan itu tidak termasuk masyarakat India yang dibantu menerusi inisiatif lain seperti Kasih Ibu Smart Selangor, Skim Mesra Usia Emas, bantuan data internet dan pelbagai lagi.

Jumaat lalu, Kerajaan Selangor membentangkan Belanjawan #Selangor2022 dengan anggaran perbelanjaan sejumlah RM2.34 bilion dalam usaha meningkatkan manfaat kepada rakyat, komuniti perniagaan dan ekonomi negeri.

Dato’ Menteri Besar berkata dengan mengambil kira jangkaan hasil negeri berjumlah RM2.1 bilion dan anggaran perbelanjaan berjumlah RM2.323 bilion, maka Belanjawan 2022 akan mengalami defisit berjumlah RM222.7 juta.