Categories
AGENSI SELANGOR

Bimbang varian baharu, rakyat lega negeri sedia dos penggalak

PETALING JAYA, 8 DIS: Pemberian dos penggalak melalui program Vaksin Selangor (Selvax) Booster dinantikan rakyat negeri ini bagi melindungi diri daripada ancaman Covid-19.

Ahli Majlis Zon 5 Majlis Bandaraya Petaling Jaya berkata dirinya sering diajukan pertanyaan itu berikutan bimbang terhadap jangkitan virus selain kemunculan varian baharu.

Quratulain Atiqah Norzahirul Anuar

“Memang ramai yang tanya. Dari situ kita nampak penduduk mahukan vaksin ini sebab risau dijangkiti Covid-19 dan kesannya yang teruk, justeru inisiatif negeri sangat bermanfaat dan melegakan.

“Harap penduduk boleh dapat suntikan ketiga secepat mungkin,” kata Quratulain Atiqah Norzahirul Anuar kepada Selangorkini.

Kakitangan kerajaan Auni Aqilah Abu, 26, berkata pemberian vaksin percuma mulai hari ini dapat mengawal jangkitan selain mengelakkan Perintah Kawalan Pergerakan dikuat kuasa semula.

“Bila semua ambil suntikan, risiko jangkitan wabak jadi kurang. Penduduk dapat hidup bebas selain ekonomi negara berjalan lancar. Jadi saya harap program ini dimanfaatkan,” katanya.

Sementara itu, pesara Abdul Kadir Ismail, 74, berkata Selvax Booster membolehkan warga emas sepertinya mendapat suntikan penggalak dengan lebih cepat.

Abdul Kadir Ismail

“Pakcik tunggu panggilan (MySejahtera) belum dapat. Semalam tengok berita Selangor ada bagi vaksin, harap tidak perlu tunggu lama. Bagus program ni untuk kurangkan jangkitan harian,” katanya.

Semalam, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan tawaran 157,000 dos penggalak kepada rakyat negeri ini melalui Selvax Booster.

Ia boleh didapati di semua Klinik Selcare termasuk Kuala Lumpur dan mendaftar awal melalui aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah).