Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

BooksFly2U dapat sambutan, lebih 3,000 naskhah dipinjam tahun ini

SHAH ALAM, 1 DIS: Jumlah pinjaman buku melalui perkhidmatan BooksFly2U meningkat kepada lebih 3,000 naskhah tahun ini berbanding 2,653 tahun lalu.

Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) berkata buku kanak-kanak dan dewasa paling banyak dipinjam sejak 2020 berbanding remaja.

“Perkhidmatannya mudah sahaja iaitu peminjam hanya perlu membayar kos penghantaran ke kediaman mereka dan buku dicari adalah di perpustakaan berhampiran,” kata Datin Paduka Mastura Muhamad.

Beliau bercakap pada program Bual Bicara: PPAS Nadi Ilmu Selangor yang disiarkan secara langsung di Facebook Media Selangor dan YouTube SelangorTV malam tadi.

Khidmat pinjaman buku BooksFly2U dilancarkan PPAS pada 16 Julai tahun lalu bagi memudahkan orang ramai meminjam buku untuk mengurangkan risiko jangkitan Covid-19 di tempat awam.

Beroperasi setiap hari kecuali cuti umum dari jam 9 pagi hingga 5 petang, peminjam hanya perlu membuat panggilan telefon atau menghantar pesanan tajuk buku ke nombor 010-8491448 atau 03-55197667.

Dalam tempoh dua hari, petugas perpustakaan akan mengatur penghantaran menggunakan khidmat e-panggilan dengan kos penghantaran serta pemulangan semula buku ditanggung peminjam.