Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

Caj parkir kawasan tumpuan Sabak Bernam tangguh ke tarikh lain

SHAH ALAM, 14 DIS: Pelaksanaan pembayaran parkir di kawasan tumpuan daerah Sabak Bernam yang sepatutnya bermula 1 Januari ditangguhkan ke satu tarikh lain.

Pegawai Komunikasi Korporat Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) Noraini Ahmad berkata perkara itu diputuskan dalam mesyuarat jawatankuasa baru-baru ini.

Menurut beliau, penangguhan itu bagi meringankan beban orang ramai susulan pandemik Covid-19.

“Sepatutnya pembayaran parkir termasuk secara digital mula dilaksana di beberapa kawasan tumpuan ramai tetapi kita tangguhkan terlebih dahulu untuk bantu masyarakat terkesan dengan Covid-19.

“MDSB akan memaklumkan tarikh pelaksanaannya apabila ada keputusan muktamad,” katanya ketika dihubungi.

Berdasarkan jawapan lisan Sidang Dewan Negeri Selangor pada 30 Oktober hingga 12 November tahun lalu, Kerajaan Negeri memaklumkan pelaksanaan tempat letak kereta berbayar di kawasan pentadbiran MDSB akan dilaksana di Pekan Sabak, Sekinchan dan Sungai Besar.

Cadangan lokasi itu dibuat berdasarkan kawasan itu sering menjadi tumpuan dan mempunyai premis perbankan.