Categories
BERITA UTAMA PENDAPAT RENCANA

Cekal pulihkan ekonomi, lindungi hidup rakyat

Oleh Amirudin Shari

Perdebatan hangat sedang berlaku di antara pemikir-pemikir dan tokoh-tokoh dunia tentang kaedah dan cara untuk membina semula ekonomi dunia dan negara masing-masing ekoran krisis yang terhasil akibat pandemik.

Untuk memastikan kita tidak mengulangi kesilapan sejarah, wajar kita meneliti kata-kata Winston Churchill yang berbunyi, “study history, study history. The longer you can look back, the farther you can look forward. In history lies all the secrets of statecraft”.

Dan aspek tahan uji yang saya rujuk tadi amat penting untuk mengelakkan daripada societal collapse yang diajukan dan dikaji oleh Joseph Tainter dalam judulnya ‘The Collapse of Complex Societies.’

Kajian Tainter mendapati bahawa keruntuhan masyarakat disebabkan oleh kegagalan ekonomi dan elemen-elemen pencerobohan luar, kesihatan awam, ataupun bencana alam hanyalah tanda dan bukti bahawa sesuatu masyarakat itu akan runtuh.

Sejarah menunjukkan bahawa kuasa-kuasa dunia akan mengalami pasang dan surut dan agak sukar untuk mana-mana kuasa besar kekal mendominasi ekonomi dunia mahupun geopolitik.

Jika abad ke-19 dilihat sebagai The British Imperial Century (Abad Penjajahan Britain) dan abad ke-20 sebagai zaman yang diterajui Amerika Syarikat terutamanya selepas Perang Dunia Kedua, kini abad ke-21 dikatakan sebagai The Asian Century (Kurun Asia).

Negeri terunggul

Negara China sebagai ekonomi terbesar dunia dilihat sebagai satu keniscayaan. Ditambah pula dengan negara India yang dijangka menjadi negara yang berpopulasi paling tinggi di dunia, saya percaya bahawa fenomena ‘The Asian Century’ itu bukan lagi hanya kata-kata.

Amatlah wajar untuk negeri Selangor sebagai gerbang ekonomi negara merebut peluang dan diposisikan sebagai antara negeri terunggul di rantau Asia Tenggara ataupun Asia.

Pada bulan lalu, satu laporan yang dikeluarkan oleh kumpulan tujuh negara kuasa ekonomi G7 Panel on Economic Resilience menggariskan syarat-syarat dan kaedah yang harus menjadi kepentingan bagi negara-negara maju dan negara-negara membangun.

Panel tersebut yang dianggotai pakar-pakar ekonomi terkemuka, antaranya Mariana Mazzucato, penasihat ekonomi kepada perdana menteri Itali dan Nobukatsu Kanehara, bekas anggota kabinet di bawah pentadbiran Shinzo Abe, perdana menteri Jepun, menggesa bahawa penggubal-penggubal dasar harus meninggalkan preskripsi dan pemikiran Washington Consensus yang menekankan dengan izin, ‘deregulation’ kepada Cornwall Consensus.

Dan Cornwall Consensus yang dipersetujui negara-negara kuasa ekonomi G7 pada tahun ini sependapat bahawa setiap kerajaan harus memainkan peranan penting dalam menyediakan kerangka ekonomi, iaitu daripada ‘market fixers to market shapers’ (pembaiki pasaran kepada pembentuk pasaran).

Tujuh aspek penting menjadi tunjang ke arah membina ekonomi masa hadapan yang cekal, iaitu:

  • kesihatan awam
  • alam sekitar
  • tadbir urus pendigitalan dan keselamatan siber
  • sistem perdagangan antarabangsa yang saksama
  • peningkatan pelaburan
  • hak pekerja
  • kepentingan jaringan rangkaian bekalan
Jangka Panjang

Isabelle Durant, timbalan setiausaha agung Persidangan Perdagangan dan Pembangunan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNCTAD) juga berkata, dengan izin, “a successful post-pandemic world must be marked by greater resilience”.

Tinjauan ekonomi Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) pada bulan Oktober 2021 menunjukkan bahawa ekonomi dunia tidak mampu pulih kepada situasi pra-pandemik jika tidak mempunyai suntikan dana kerajaan.

Sebagai persediaan bagi ekonomi pasca-Covid, peluang pekerjaan baharu harus diwujudkan, selain memberi fokus kepada teknologi hijau, digitalisasi, mengurangkan kesenjangan pendapatan ataupun ‘inequality’ serta perbelanjaan kerajaan yang berhemah.

Setiap aspek ini mendesak sesebuah kerajaan untuk bertindak bukan untuk hari ini atau esok sahaja tetapi untuk jangka masa hadapan dengan perancangan yang rapi berlandaskan data serta fakta yang tepat.

Jika kita menggunakan pendekatan jangka pendek, kita akan mendedahkan masa hadapan keluarga dan anak-anak kita kepada risiko lemah daya tahan ekonomi.

Kita sedang melihat tanda-tanda itu pada hari ini. Misalnya, kita melihat kerentanan kewangan 48 peratus daripada keseluruhan pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di bawah umur 55 tahun, tidak mempunyai wang yang cukup untuk menampung keperluan asas mereka selepas bersara.

Seramai 3.6 juta pencarum pula mempunyai kurang daripada RM1,000 di dalam akaun KWSP masing-masing.

Melatari kesemua aspek tersebut, Kerajaan Negeri Selangor menekankan aspek kecekalan rakyat di dalam belanjawan tahun lalu.

Kecekalan yang dipupuk dan difokuskan bermula di peringkat isi rumah dan kemudiannya kepada industri kecil dan sederhana.

Ini kerana keluarga dan industri kecil dan sederhana merupakan nadi kepada enjin ekonomi negeri Selangor.

Dengan ketersediaan yang lebih awal, kini kita memasuki era kebertanggungjawaban baharu untuk mengukuhkan lagi Selangor sebagai negeri tahan uji yang memelihara serta melindungi rakyat serta kelangsungan ekonomi jika berhadapan dengan cabaran atau ancaman masa hadapan.

Gangguan rantaian

Ditambah pula dengan wujudnya lagi kes-kes Covid-19, maka kebertanggungjawaban baharu untuk terus menjaga kesihatan diri dan keluarga ini harus dipikul bersama-sama, dari peringkat individu, keluarga, syarikat sehinggalah ke pimpinan kerajaan.

Ketersediaan Selangor untuk terus melakukan perubahan tidak pernah luntur, terutamanya di dalam bab melaksanakan pelan pembangunan ekonomi yang inklusif di samping memastikan tiada sesiapa tertinggal.

Sehingga 22 November 2021, RM329 juta daripada RM627.4 juta yang disediakan di bawah Pakej Kita Selangor 1.0 dan 2.0 telah dibelanjakan yang memberi manfaat kepada 1.7 juta penerima, manakala beberapa inisiatif sedang dalam pelaksanaan.

Pertumbuhan ekonomi dunia pada tahun 2021 dianggarkan pada 5.9 peratus.

Manakala menurut laporan World Economic Outlook pada bulan Oktober lalu oleh IMF, pertumbuhan ekonomi dunia bagi tahun 2022 dianggarkan pada 4.9 peratus.

Penyusutan sebanyak 0.1 mata peratusan ini sebahagian besarnya disebabkan oleh gangguan terhadap rantaian bekalan global dan juga dinamik pandemik yang mungkin menjadi buruk kembali.

Walaupun prospek pemulihan ekonomi negara-negara maju dijangka lebih positif dengan kemampuan vaksinasi yang meluas dan juga penggunaan instrumen fiskal dan kewangan yang efektif namun terdapat kebimbangan terhadap peningkatan inflasi yang disebabkan oleh ketidakseimbangan penawaran-permintaan dan harga komoditi yang tinggi.

Isu peningkatan harga barang dan inflasi, kemunculan varian baru Covid-19 yang agresif, vaksinasi global yang perlahan dan gangguan rantaian bekalan akan menjadi tema yang melatari wacana ekonomi dunia pada tahun hadapan.

Gaji berkurang

Tahun 2021 adalah tahun asas Rancangan Malaysia Kedua Belas 2021- 2025 dan juga Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.

Kemunculan pandemik ini telah merencatkan aspirasi Malaysia untuk mencapai pertumbuhan ekonomi yang pesat dan juga matlamat pembangunan yang dirancang sebelum ini.

Pandemik ini turut memberi kesan kepada kesejahteraan kehidupan sebahagian besar rakyat Malaysia.

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, pendapatan per kapita pada 2020 berkurang sebanyak 6.5 peratus kepada RM43,475 berbanding RM46,450 pada 2019.

Pada masa sama, purata gaji dan upah berkurang sebanyak 9 peratus daripada RM3,224 pada 2019 kepada RM2,933 pada 2020.

Situasi ini menyebabkan 20 peratus kumpulan isi rumah berpendapatan pertengahan (M40) yang mempunyai pendapatan antara RM4,850 ke RM10,959 menurun ke kategori pendapatan rendah (B40), iaitu pendapatan isi rumah RM4,850 ke bawah.

Menurut Bank Negara Malaysia, kadar inflasi negara dijangka berada pada sekitar 2.0 sehingga 3.0 peratus.

Ekonomi negara mula pulih dengan pembukaan semula sektor-sektor ekonomi terutamanya bagi industri pelancongan tempatan, pemulihan permintaan domestik serta penyambungan semula aktiviti pembinaan projek-projek infrastruktur besar.

Bank Negara Malaysia menyasarkan perkembangan ekonomi negara pada sekitar 3.0 sehingga 4.0 peratus menjelang akhir 2021.

Dalam usaha untuk menuju ke arah Negeri Pintar 2025, Kerajaan Negeri telah menggembleng tenaga dengan memantapkan penyampaian perkhidmatan awam, meningkatkan mutu pemantauan kesihatan dan keselamatan awam serta menaik taraf infrastruktur digital negeri.

Selangor kekal menerajui ekonomi Malaysia dengan sumbangan 24.3 peratus meskipun Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negeri ini mencatatkan penurunan nilai ditambah kepada RM326.8 bilion pada 2020.

Dari sudut pertumbuhan, meskipun KDNK negeri ini menyusut kepada -5.3 peratus (2019: 6.8 peratus), pertumbuhan tersebut mengatasi prestasi di peringkat nasional (-5.6 peratus).

Petikan ucapan Dato’ Menteri Besar ketika membentangkan Belanjawan #Selangor2022 di Dewan Negeri Selangor pada 26 November 2021